join admya di FB

Ep 26 Lafazkan Kalimah Cintamu


Tengku Ryan Ameer begitu resah. Walaupun di kala ini jam sudah menunjukkan ke angka 12.00 malam namun dia masih tidak mampu untuk melelapkan maanya walau sekelumit jua. Wajah isterinya terus-terusan belayar di ruangan mindanya. Sesekali dia memicit dahinya, entah mengapa dia begitu risau akan kesihatan isterinya itu.


Adakah perasaan ini timbul atas rasa tanggungjawabnya sebagai seorang suami, sama seperti yang didakwa oleh isterinya itu? Perlahan-lahan Tengku Ryan Ameer menggeleng.
Tak, tak… aku memang sayangkan Aqilah. Aku cintakan dia, kerana rasa kasih itu aku tak nak apa-apa terjadi pada dia. Ya Allah, macam mana aku boleh tersilap langkah? Ya Allah andai dapat kuundurkan putaran dunia, inginku ubah semula kata-kata dan tingkahlakuku yang salah. Aku tak sanggup lagi berpisah dengannya. Aku tak sanggup Ya Allah! Jerit Tengku Ryan Ameer di dalam hati.
Ya, jeritan tanda penyesalan yang tiada berkesudahan. Kini Tengku Ryan Ameer tersepit dalam jeratnya sendiri.
Pantas dia mengambil telefon bimbitnya. Sebaik jarinya ingin menekan nombor telefon isterinya, ego lelakinya melarang. Masakan dia perlu mengalah semudah itu pada isterinya, bukankah isterinya itu pernah menghina dan menghamburkan kata-kata yang kasar pada dirinya? Tak kan semudah itu dia boleh melupakannya. Tak kan perubahan isterinya yang baru sehari itu dia sudah jadi menggelabah sehingga sebegitu rupa.
Tak, tak mungkin begitu hebat cinta Aqilah sehingga mampu menawannya kembali dalam sekelip mata. Dia tidak akan membuat tindakan yang terburu-buru lagi, cukuplah dulu dia membuka pintu hatinya terlalu cepat buat isterinya tanpa mengenal dirinya dengan lebih mendalam. Kini dia tidak mahu pisang berbuah dua kali, dia akan lebih berhati-hati sebelum membuka semula pintu hatinya pada perempuan yang telah menghancurkan hatinya itu.
Emm… nampaknya jeritan batinku tadi tak ada maknalah ya, bila ego diletakkan di singgahsana yang paling tinggi.
Moga jodoh mereka panjang hendaknya…
Manakala di rumah Shafiq pula, suasana agak mencemaskan sedikit. Tengku Natasha tidak mahu keluar langsung dari biliknya, pelik pula Shafiq jadinya. Adakah perilakunya telah menyinggung perasaan Tengku Natasha tanpa sedar? Kepalanya digaru-garu. Wajah Kak Fiza dan Abang Aris jiran sebelahnya yang juga merangkap saudara angkatnya dipandang.
“Pagi tadi Kak Fize ternampak Tasha keluar sekejap. Masa dia balik kebetulan akak bukak pintu, tu yang akan perasan dia menangis. Masa Shafiq suruh Kak Fiza hantar nasi beriani pada Tasha, puas akak ketuk pintu bilik dia, tapi dia tak nak bukak. Akak rasa dia tak keluarlah dari tadi Fiq, nasi tu pun tak berusik.” Kata-kata Kak Fiza itu makin merisaukan Shafiq.
Pintu bilik diketuk lagi.
“Tasha, kenapa ni? Fiq ada buat apa-apa salah pada Tasha ke atau Tasha tak selesa tinggal di sini? Tasha nak Fiq call Qila ke suruh datang, ataupun Tasha nak jumpa Pak Engku?” Lembut Shafiq memujuk.
Di waktu itu baru kedengaran suara Tengku Natasha yang sedikit serak seperti orang yang banyak menangis gayanya.
“Jangan, jangan, Fiq jangan call diorang. Tasha tak nak jumpa sesiapa pun buat masa ni. Tasha dah dapat balasannya Fiq. Tasha takt ahu sama ada Tasha sanggup nak menanggungnya atau tidak,” ujar Tengku Natasha dengan suara yang teresak-esak dari dalam.
Makin bingung Shafiq jadinya.
“Fiq tak faham, apa sebenarbya yang dah jadi. Buka pintu Tasha, tolong buka pintu, please. Tasha percaya kan Fiq kan?” Shafiq terus memujuk.
Lebih kurang 5 minit pintu bilik terbuka sedikit. Kak Fiza sudah menerpa namun ditahan oleh Shafiq.
“Biar Fiq bincang dengan dia kak.”
Kak Fiza seperti memahami, dia mengangguk perlahan. Shafiq menolak sedikit pintu bilik. Gelap. Terus dia menekan suit lampu. Di kala itu dia melihat Tengku Natasha terus menutup wajahnya dengan kain tuala. Tengku Natasha hanya bersila di tepi katil. Sesekali dia teresak, Shafiq turut bersila di sebelah perempuan yang sentiasa bertakhta di hatinya itu.
“Sha, kenapa ni?”
Tengku Natasha tersentak bila Shafiq memanggil namanya begitu, lembut sungguh suaranya. Makin laju air mata yang membasahi pipi Tengku Natasha.
“Tasha dah dapat balasan Allah Fiq…” Tengku Natasha mengulang ayat yang sama.
Shafiq menggerutkan sedikit keningnya.
“Balasan apa?” Masih lembut Shafiq bertanya.
“Muka Tasha… Pagi tadi Tasha bangun tidur, muka Tasha jadi buruk Fiq, muka Tasha dah rosak Fiq…” Tengku Natasha sudah meraung. Kepalanya disembamkan pada dada Shafiq.
Terkedu Shafiq dibuatnya. Shafiq sudah serba salah, dia tidak selesa diperlakukan begitu.
“Sha, maaf ya… Fiq tau Sha sedih sangat tapi tak elok macam ni. Kita bukan muhrim. Kuatkan hati Sha, kita ada Allah. Ingat tu, bagi Fiq tengok muka tu?”
Tengku Natasha perlahan-lahan mengangkat wajahnya dan Shafiq pula dengan sopan membuka kain tuala yang menutup waah Tengku Natasha itu.
Lama Shafiq memandang wajah itu. Tengku Natasha pelik kerana tiada riak terkejut di wajah Shafiq, dia kelihatan sungguh tenang.
“Jadi, Sha menangis seharian, mengurung diri, tak nak makan hanya kerana ujian yang kecil ni?”
Terperanjat Tengku Natasha mendengarnya. Wajah Shafiq direnung tak berkelip.
“Kecil Fiq cakap? Fiq nampak tak betapa buruknya muka Tasha ni. Fiq nampak tak muka Tasha ni dah dipenuhi dengan bitnik-bintik merah, bengkak… Ni… keliling mata Tasha ni dah mula membengkak, macam mana Fiq boleh kata kecil? Tasha takut Fiq, Tasha takut kalau makin merebak. Tadi Tasha pergi klinik, doktor kata ini akibat komplikasi suntikan botox yang Tasha buat dulu. Tolonglah Fiq, Tasha tak tahan sakit, Tasha tak sanggup macam ni Fiq…” Esak Tengku Natasha.
Shafiq terdiam seketika, nafasnya di hela perlahan.
“Sha, Fiq bukan berniat untuk memperlekehkan penyakit yang Sha tanggung sekarang, tapi Sha tak boleh meraung dan terus-terusan meratapi nasib macam ni. Fiq katakan ini hanya ujian kecil dari Allah kerana Fiq nak Sha sentiasa menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Di luar sana ada orang diuji dengan lebih teruk lagi, ada yang hancur mukanya, ada yang hilang wajahnya, ada juga yang hilang penglihatannya.
Jadi bila kita pula diuji, wajar ke kita nak menyalahkan Tuhan? Semasa kita leka, kita asyik dengen keseronokan dunia, ada kita peduli risikonya? Tak ada kan, tapi kenapa bila kita diuji sedikit sahaja itu pun atas kesilapan kita sendiri kita boleh jadi seperti manusia yang tak beriman?
Sha sepatutnya bersyukur, Allah dah buka pintu hati Sha untuk bertaubat, untuk kembali ke jalan yang benar. Sekadar muka yang rosak masih boleh diubati Sya. Fiq yakin berkat usaha, kesabaran dan doa kita, insya-Allah wajah Sha akan pulih seperti sediakala tapi kalau hati kita rosak walaupun wajah secantik bidadari tak ada gunanya Sha… Tak ada gunanya…” Panjang lebar Shafiq memberikan nasihat dan perangsang pada Tengku Natasha.
Masih tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut Tengku Natasha. Shafiq merenung gadis idamannya itu dengan wajah yang manis.
“Nanti, Fiq bawak Sha pergi pakar ya? Kita ubat sampai sembuh, yang penting Sha tak boleh putus asa. Janji dengan Fiq. Please janji dengan Fiq, Sha…” bisik Shafiq lembut.
Tengku Natasha merenung jejaka di sebelahnya yang semakin menggetarkan hatinya itu. Akhirnya dia bersuara, “Tadi, sebelum pergi klinik Tasha ada keluarkan duit, tapi Tasha pelik sebab jumlah wangnya dah bertambah. Fiq ada masukkan duit dalam akaun Tasha ya?” soal Tengku Natasha perlahan, dia sudah mula tampak tenang.
Shafiq menggeleng perlahan.
“Tak, bukan Fiq yang masukkan duit tu tapi Qila. Rasanya last week lagi dia dah masuk cuma Sha yang tak check. Dia tahu Sha kat sini, dia mintak Fiq jaga Sha baik-baik. Tapi pasal rawatan Sha, Fiq tak ada masalah nak keluarkan duit sendiri, yang penting pada Fiq sekarang adalah kebahagiaan Sha. Kita makan ya, Fiq ambilkan…”
Tengku Natasha menjadi kelu untuk berbicara. Di kala ini perasaannya sudah bercampur baur. Layanan baik Shafiq pada dirinya dan keprihatinan adiknya hingga sanggup memasukkan wang ke dalam akaunnya begitu mengasak fikiran.
“Fiq…” panggilnya, Shafiq terhenti melangkah. Wajah Tengku Natasha dipandang.
“Terima kasih, terima kasih banyak-banyak…” Sayu suaranya.
Shafiq hanya tersenyum.
“Sampaikan jugak ucapan terima kasih pada Qila ya. Cakap pada dia, Tasha minta maaf sangat-sangat. Tasha sayangkan dia Fiq… Tasha sayangkan adik Tasha…”
“Fiq tahu Sha... Fiq tahu dan begitulah jugak kasihnya Aqilah pada Sha,” ujar Shafiq lembut sebelum berlalu.
Tengku Natasha mengetap bibirnya erat menahan rasa sebak yang kembali bertandang. Benarlah kata pepatah air yang dicincang tidak akan putus.
Pintu bilik Tengku Ryan Ameer diketuk. Tidak sampai 1 minit Azrul Botak sudah menjenguhkan kepalany. “Ryan, staf semua tengah tunggu kau nak mula meeting.”
Tengku Ryan Ameer yang sedang leka menaip di komputer ribanya terus terhenti. Wajah Azrul Botal dipandang.
“Staff meeting? Masa bila pulak aku kata hari ni ada staff meeting?” soal Tengku Ryan Ameer dengan wajah yang bingung.
Azrul Botak sudah menapak ke dalam.
“Alah, pasal company trip tu. Dah lupa ke?” jelas Azrul Botak dengan kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
“Oh… pasal tu, kau ajelah handle. Kau discusslah dengan staf macam mana? Apa-apa keputusan aku ikut aje?” balas Tengku Ryan Ameer yang kembali memfokuskan pada kerjanya.
Azrul Botak mengeluh sedikit, dia mendekati meja bos merangkap kawan baiknya itu.
“Jomlah Ryan, sportinglah, staf semua dah tunggu kau. Tak bestlah macam ni. Nanti diorang ingat bila berkaitan dengan hal diorang, kau tak ambik kisah. Jomlah bukanya selalu nak beramah mesra dengan staf,” pujuk Azrul Botak lagi.
Tengku Ryan Ameer sempat lagi menghela nafas panjang sebelum bangun dari kerusi. Azrul Botak sudah tersengih, termakan juga Tengku Ryan Ameer dengan pujukannya.
Semasa menuju ke bilik mesyuarat, Tengku Ryan Ameer sempat lagi menjenguk ke bilik isterinya dan wajahnya terus berubah bila dia melihat Tengku Aqilah begitu leka berbincang sesuatu dengan Shafiq dan yang makin memeranjatkannya bila dia melihat dalam masa yang sama isterinya itu sibut mengelap air mata.
Tengku Ryan Ameer mula merasa tidak sedap hati. Adakah isterinya sedang meluahkan perasaannya pada Shafiq mengenai masalah rumah tangga mereka? Setahu Tengku Ryan Ameer di kala ini hanya masalah hubungan mereka yang telah memberikan sedikit tekanan pada isterinya, sehinggakan isterinya itu sampai boleh jatuh sakit, fikirnya.
“Ryan, apa lagi kau tercegat kat situ jomlah,” panggil Azrul Botak.
Tengku Ryan Ameer menggeleng sedikit kepalanya sebelum melangkah ke bilik mesyuarat.
Azrul Botak membuka pintu bilik mesyuarat. Tengku Ryan Ameer mengekori dari belakang dan sebaik kakinya melangkah ke dalam.
“Surprise!!!”
Semua staf menjerit padanya. Terkejut Tnegku Ryan Ameer dibuatnya, di atas meja telah penuh dengan makanan. Azrul Botak sudah menunjukkan tangannya mengarah Tengku Ryan Ameer yang sedikit termangu itu menuju ke bahagian depan sekali dan tidak sampai 1 minit Kak Tipah masuk bersama dengan sebiji kek yang telah dinyalakan lilin di atasnya.
Waktu itu semua staf mula menyumbangkan suara masing-masing menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi. Beria-ia mereka menyanyi seperti sedang menghadiri uji bakat Akademi Fantasia pula dan yang terlebih memperlihatkan bakatnya adalah Azrul Botak sendiri.
Meluar pula Farhana melihatnya, overlah pulak, getus hatinya. Tengku Ryan Ameer sudah mengangkat kedua-dua belah habunya dengan senyuman terukir di bibir.
Selesai menyanyi, suasan bilik mesyuarat itu bising semula, ada yang minta bos mereka membuat hajat dulu sebelum memotong kek, ada juga yang minta tiup lilin dulu dan ada juga yang minta untuk bergambar Bersama-sama. Tapi, tak ada seorang pun yang minta agar Tengku Ryan Ameer menunggu isterinya dahulu sebelum memotong kek hari jadinya. Dan agak mengejutkan bila Tengku Ryan Ameer sendiri yang menyuarakannya.
“Rita, boleh panggilkan Aqilah. Kalau ya pun you all nak celebrate birthday I yang sepatutnya esok, biar semua staf ada, panggil Shafiq sekali ya…’
Zurita mengangguk sebelum berlalu namun belum sempat dia membuka pintu, pintu bilik dibuka dari luar. Tengku Aqilah dan Shafiq melangkah masuk.
“Sorry, alamak dah terlepaslah part surprise tu Fiq. Tak apalah yang penting part potong kek tu. Kami semua tau birthday abang esok tapi memandangkan esok cuti jadi kita celebratelah hari ni. Laa… potonglah kek tu bang, jangan buang masa, perut dah lapar ni.” Sempat pula Tengku Aqilah mengusik suaminya.
“Kau ni Qila sibuk nak memotong kek, aku tahulah kek tu kau yang sponsor. Kalau ya pun kenalah tiup dulu lilinnya.” Farhana yang mendiamkan diri sedari tadi akhirnya mengeluarkan juga suaranya.
Bilik itu menjadi gamat semula bila beberapa orang staf sudah menyuruh bos mereka meniup lilin. Tengku Ryan Ameer akur juga. Lilin bentuk nombor 28 itu ditiup. Selesai mereka semua bertepuk tangan.
“Isyh… main tepuk-tepuk tanganlah pulak diorang ni. Diorang ingat birthday partu budak 2 tahun ke?” omel Tengku Aqilah pada Farhana di sebelah.
Farhana makin menguatkan tepukannya. Bibirnya dijuihkan, “Alah, kau tu jealous sebab tak pernah rasa macam ni kan? Aku tahu dalam hati tu mesti dah plan bila birthday kau nanti kalau boleh suruh orang tepuk sampai ke pagi.”
Tengku Aqilah sudah menyengetkan mulutnya.
“Mana ada, tepuk 2 jam dahlah.” Selamba Tengku Aqilah menjawab. Kembang hidung Farhana mendengarnya.
Tengku Ryan Ameer sudah memotong kek, dalam masa yang sama Kak Tipah bersuara, “Ku Ryan suaplah kek tu pada Cik Qila, baru romantik sikit.” Ramai pula penyokong Kak Tipah, bilik itu menjadi hingar-bingar dibuat oleh mereka.
Tengku Ryan Ameer sudah memandang isterinya, jelas riak serba salah di wajahnya. Tengku Aqilah perasan akan ketidakselesaan suaminya itu. Dengan wajah bersahaja dia mendekati suaminya.
“Tak payah nak suap-suap kak Tipah. Saya ni mana cukup makan kek secubit macan tu. Mari sini bang, biar Qila potongkan. Abang jangan layan diorang ni. Ada pulak nak romantik-romantik masa ni. Kalau ya pun nak romantik tak kan nak tunjuk depan you all. Isyh, buat malu aje,” ujar Tengku Aqilah dengan ceria namun jauh di suduh hati sebenarnya dia terasa dengna sikat suaminya itu. Tengku Ryan Ameer hanya tersenyum hambar pada isterinya dan Tengku Aqilah turut membalas seadanya.
“Saya nak minta perhatian semua sekejap…” Tengku Ryan Ameer bersuara.
Semua pekerja sudah menfokuskan pada bos mereka.
“Okey, saya nak ucapkan terima kasih pada you all semua yang bersusah payah mengaturkan majlis ni untuk saya. So saya dimaklumkan oleh Azrul tadi yang kita hendak membincangkan mengenai company trip, jadi untuk tahun ni company berbesar hati memberi peluang pada you all untuk decide mana tempat yang you all nak pergi.”
Jelas keceriaan luat biasa di wajah pekerja-pekerjanya. Tengku Ryan Ameer sudah mengangkat tangannya menyuruh bertenang.
“Tapi hanya di dalam negara kita sahaja okey?”
Terdengar suara-suara hampa mereka. Dalam masa yang sama Tengku Aqilah meletakkan piring kertas yang telah diisi sepotong kek di hadapan suaminya yang sudah duduk itu.
“So, any suggestion?” tanya Tengku Ryan Ameer sambil menyudu kek ke dalam mulutnya. Kelihatan pekerja-pekerja sedang berbincang sesama mereka.
Tengku Aqilah tidak pula berminat untuk menyertainya. Dia sudah bergerak ke arah Shafiq Bersama dua piring kertas di tangan. Tengku Ryan Ameer yang sedang menjamu selera itu sempat lagi melirik pada isterinya yang sudah duduk di sebelah Shafiq. Sesekali terdengar mereka ketawa, kemesraan mereka telah menjulang rasa cemburu dalam dirinya.
Tengku Ryan Ameer mula merasakan yang Shafiq sedang menangguk di air yang keruh. Hatinya tiba-tiba diburu rasa bimbang. Ya dia bimbang jika dalam masa terdekat ini Tengku Aqilah akan terpikat pada lelaki skema itu. Hatinya benar-benar resah kini. Azrul Botak yang duduk di sebelah kawan baiknya itu dapat menghidu bahang cemburu di wajah lelaki ego itu.
“Okey, Ku Ryan kami semua dah capai kata sepakat…” Farhana bersuara mewakili pekerja yang lain.
Tengku Ryan Ameer sudah memandang, dengan kening yang diangkat.
“Kami nak buat ekspedisi mendaki Gunung Nuang dan kata putus ni kami semua ambil untuk merealisasikan impian Aqilah yang terlampau teringin nak merasa keseronokan mendaki gunung, so kami…”
Belum sempat Farhana meneruskan ayatnya, Tengku Aqilah yang sedang asyik menikmati kek coklat yang ditajanya, terus terbatuk-batuk. Shafiq pantas menghulurkan air padanya, sampai berair mata Tengku Aqilah gara-gara tersedak. Jelas kerisauan di wajah lelaki skema itu. Makin berbulu Tengku Ryan Ameer melihatnya.
Tengku Aqilah sudah mengelap matanya, dia menoleh pada Farhana.
“Woi Ana, masa bila pulak aku…”
Pantas Farhana memotong, “Alah, mesti kau lupa tu. Masa mula-mula kau join company ni kau pernah beritahu nak rasa pengalaman mendaki gunung.”
“Yalah, tak payah seganlah Cik Qila. Demi Cik Qila we all sanggp ikut. Yang penting impian Cik Qila tercapai. Lagipun anggaplah ini hadiah birthday dari kami untuk birthday Cik Qila tahun lepas,” jawab Din Rider selaku despatch di ofis tu. Patutlah dipanggil rider.
“Oh, yak e? Kenapa tak nak celebrate sekali birthday saya yang 10 tahun yang lepas?” balas Tengku Aqilah geram.
“Yang tu kita celebrate atas gunung nantilah Qila.” Azrul Botak pula menyampuk.
Makin sakit hati Tengku Aqilah dibuatnya. Tengku Ryan Ameer sudah memandang isterinya.
“Saya tak tahu pulak yang Qila ni suka aktiviti lasak ya. Emm okey, since majoriti dah setuju, demi bos kesayangan you all, so kita bercuti atas gunung ajelah.”
Walaupun suara Tengku Ryan Ameer itu kedengaran biasa sahaja, tetapi Tengku Aqilah dapat merasakan sindirannya. Sempat lagi dia menjeling pada suaminya dan Tengku Ryan Ameer hanya tersenyum sinis melihatnya. Elok Farhana melabuhkan punggungnya di sebelah sahabatnya, berdetus paha Farhana mendapat habuannya.
“Adui!!!” jerit Farhana.
Azrul Botak yang pertama menunjukkan reaksinya. Buah hati kata kan.
“Kenapa Ana?” tanya Azrul Botak cemas.
Farhana sudah menjeling tajam pada Tengku Aqilah di sebelahnya yang sedang meneguk air dengan muka yang teramatlah selambanya.
“Biasalah, mak ketam mengamuk,” jawab Farhana dengan suara yang dikeraskan.
Azrul Botak masih tidak dapat menangkap maksud kekasihnya itu dan dia makin menjadi pelik bila melihat Tengku Ryan Ameer sudah tersenyum lebar. Maklumlah dia salah seorang yang pernah menjadi mangsanya dan itulah juga antara kenangan terindah saat-saat bersama isterinya. Isterinya yang sedang leka berbual dengan Farhana itu direnung sepuas-puasnya.


Tengku Aqilah menyandarkan kepalanya di kusyen teksi yang sedang meluncur laju membelah jalan raya menuju ke rumah suaminya itu. Macam yang dijanjikan, setiap hari Sabtu dia akan datang ke rumah lelaki yang masih belum dapat menerimanya sepenuh hati itu. Nafasnya dihela lembut. Kadangkala dia sendiri jadi keliru dengan perjalanan rumah tangganya itu.
Hatinya terdetik juga, sampai bila dia mampu bertahan dengan cara kehidupan yang begini? Sampai bila dia mampu memujuk hatinya untuk terus menanti suaminya kembali semula ke sisi, suaminya kembali membawa bersama hatinya dan berjanji tidak akan lagi membiarkan dirinya sepi, berjanji untuk terus bersama sehidup dan semati.
Akhirnya, Tengku Aqilah merumuskan sendiri, tak akan lari gunung dikejar, paling-paling pun runtuh sahaja. Jadi apalah salahnya jika dia bertolak ansur terutama dalam urusan hati. Biarlah dia memberi ruang pada suaminya untuk menilai betul-betul hati dan perasaannya sebelum dia kembali semula pada dirinya.
Tengku Aqilah menggigit tepi bibirnya sebaik teksi berhenti di depan rumah banglo yang tersergam indah itu. Pak Cik Kudus mengeluarkan dua beg plastik dari bonet keretanya.
“Terima kasih pak cik, berhati-hati memandu ya. Kalau ada apa-apa Qila call pak cik,” tutur Tengku Aqilah sopan.
Pak Cik Kudus tersenyum senang.
“Sama-sama nak, pak cik pun nak ucap terima kasih pada Qila. Sejak kenal Qila makin bertambah rezeki pak cik. Qila pun jaga diri ya,” ujar Pak Cik Kudus lembut. Tidak sampai 2 minit teksi Pak Cik Kudus hilang dari pandangan!
Tengku Aqilah yang baru hendak menekan loceng terus mematikan niatnya sebaik pintu pagar telah pun terbuka.
“Pagi pulak dia bangun hari ni. Okeylah tu kalau dibuatnya dia tidur mati sampai tegak matahari, mau kejung aku kat luar ni.” Sempat lagi Tengku Aqilah mengomel sendiri sambil menjinjit dua beg plastik. Matanya merayap ke seluruh kawasan rumah banglo itu, pandai Wak Kasim menjaganya, detik hatinya.
“Banyaknya barang?” tegur suaminya yang sudah berdiri di muka pintu.
Tengku Aqilah mengerutkan wajahnya. Kedua-dua beg plastik itu diserahkan pada suaminya.
“Ambik bang, beratlah, tengok dah merah tangan. Ini semua makanan abang. Qila tahu kalau nak masak kat sini pun tak ada apa dalam peti ais abang tu,” bebel Tengku Aqilah.
Tengku Ryan Ameer yang mencapai barang dari isterinya sudah mencemik.
“Mengadalah tu, bawak barang dari pintu pagar tu pun tak larat,” usik suaminya.
Tengku Aqilah hanya membuat muka selamba. Dia terus masuk dan tanpa segan mahupun silu terus dia merebahkan badannya di sofa panjang.
Tengku Ryan Ameer yang kemabli semula ke ruang tamu, selepas meletakkan barang-barang di dapur, sedikit terkejut melihatnya. Tengku Aqilah terus menoleh pada suaminya.
“Sorrylah bang, landing kejap ya. Nanti Qila hiding makanan, saparan pagi ada, makanan tengah hari pun ada, bagi Qila 5 minit ya.”
Tengku Ryan Ameer sudah tersenyum, punggungnya dilabuhkan di sofa bertentangan isterinya.
“Tak apa, rehatlah. Kalau nak makan saya boleh ambil sendiri. Tapi kenapa lately ni saya tengok Qila macam letih sangat, macam tak larat aje. Qila diet ya,” tegur suaminya.
Tengku Aqilah sudah duduk. Dia membuka tudung lalu diletak di tepi sofa. Rambutnya yang semakin panjang itu disisir sebelum diikat satu. Tengku Ryan Ameer hanya memerhati sahaja dengan renungan yang mendalam.
Tengku Aqilah membuka pula baju t-shirt lengan panjang yang dipakainya. Tengku Ryan Ameer sudah memandang semacam. Rupanya di dalam, Tengku Aqilah memakai t-shirt lengan pendek yang agak nipis warna krim susu. Berkocak naluri Tengku Ryan Ameer melihatnya. Tengku Aqilah perasan akan riak wajah suaminya itu.
“Kenapa abang pandang macam tu? Abang ingat Qila ni dah terdesak ke sampai nak menggoda abang macam tu sekali,” sindir Tengku Aqilah selamban.
Berubah muka Tengku Ryan Ameer mendengarnya. Melihat wajah suaminya yang merah padam itu Tengku Aqilah pantas bersuara, “Rilekslah bang, tak kan tu pun nak marah. Qila guraulah. Qila ni sejak akhir-akhir ni tak tahulah kenapa bang, pagi tadi rasa sejuk bukan main tu yang pakai baju sampai dua lapis.
Sekarang ni pulak rasa panas yang amat. Suhu badan ni macam tak menentu pulak. Isyh… agaknya bila badan terlebih lemak, macan nilah jadinya ya,” jelas Tengku Aqilah ceria namun melihat wajah suaminya yang masih mencuka itu Tengku Aqilah bangun dan terus melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
“Kenapa ni bang, birthday boy mana boleh marah-marah. Ehh… lupalah nak wish, Happy Birthday abang…” Manja Tengku Aqilah mengucapkannya.
Tangan lelaki yang sentiasa bertakhta dihatinya itu dipegang.
“Semoga kebahagiaan akan menjadi milik abang selamanya,” ucapnya lembut. Tangan suaminya dikucup lama.
Perlakuan isterinya telah melenyapkan rasa amarah yang hadir seketika tadi. Kini yang tinggal hanya satu perasaan halus yang mula mengocak naluri lelakinya. Jantung Tengku Ryan Ameer sudah bergetar laju, spontan pipi isterinya diusap lembut. Perlahan-lahan dahi isterinya dikucup. Tengku Aqilah sudah melelapkan matanya. Di saat ini dia merasa dirinya berada dalam pelukan hangat suaminya.
Kini jantung Tengku Aqilah pula yang mula berdegup kencang. Tengku Aqilah dapat merasakan bibir suaminya sudah merayap ke seluruh wajahnya, namun di saat dia ingin membalas pelukan suaminya, hatinya cepat-cepat menyedarkan dirinya supaya berpijak di bumi yang nyata.
Ya, yang nyata di kala ini di saat dia bahagia dengan belaian suaminya, lelaki yang bernama Tengku Ryan Ameer ini tidal lagi mencintainya sepenuh hati. Lelaki ini masih lagi teragak-agak untuk kembali semula dalam hidupnya dan lelaki ini masih ragu dengan kata hatinya sendiri.
Kejamnya lelaki ini? Tidak adakah sekelumit jua jika bukan cinta sekalipun sedikit ehsan pada diri aku? Kenapa dia harus memperlakukan aku begini? Jeritan yang hanya bergema di dalam hati.
Tengku Ryan Ameer perasan air mata yang menitis di pipi isterinya, terus dia menjarakkan dirinya dari isterinya itu. Di kala ini dia tidak henti mengutuk dirinya. Wajahnya diraup berkali-kali. Terdengar dia melepaskan nafas yang cukup berat. Dengan kepala yang masih menunduk dia bersuara, “I’m so sorry Qila. Saya betul-betul minta maaf. Saya tak patut buat Qila macam tu. Sa… saya… tak tahu apa lagi nak cakap, tapi saya betul-betul minta maaf…”
Seelok ungkapan ayat yang terakhir, Tengku Ryan Ameer terus bangun. Dia mengatur langkah laju mendaki anak tangga. Di saat itu hati Tengku Aqilah bagaikan dirobek-robek. Kali ini dia benar-benar rasa pedihnya. Air mata yang mengalir hanya dibiarkan sahaja.
Mengapa sukar sangat suaminya hendak menerima dirinya kembali? Mengapa suaminya tidak mendakap dirinya semula dan mengungkapkan yang dia ingin membina kembali istana cinta mereka? Mengapa hanya kata maaf itu yang diucap berkali-kali, seolah-olah menyentuh dirinya merupakan satu dosa pada suaminya itu?
Wahai suamiku, lafazkanlah kalimah cintamu kerana sudah terlalu lama aku merindui ungkapan itu. Ya Allah, kau kuatkanlah aku menghadapi dugaan-Mu ini. JIka hati suamiku memang telah tiada untuk diriku, temukanlah dia dengan jodoh yang terbaik agar dia mendapat kebahagiaan dia semula. Kebahagiaan dari orang yang benar-benar dicintainya, dengarlah rintihanku ini, Ya Allah…” doa Tengku Aqilah ikhlas di dalam hati.
Pintu bilik Tengku Ryan Ameer diketuk. Agak lama dia mengetuknya namun masih tiada tanda-tanda pintu akan dibuka. Tengku Aqilah menghembuskan nafasnya perlahan.
“Abang, Qila dah hidangkan makanan, baju abang pun Qila dah gosok, nanti abang turun makan ya. Oh ya, lagi satu atas meja tu ada hadiah dari Qila dan papa. Papa ucapkan selamat hari jadi pada abang, dia doakan semoga abang akan menemui cinta abang yang sebenarnya. Abang tahu tak, masa Qila dengar papa cakap macam tu Qila rasa sedih, Qila rasa seolah-olah papa mendoakan perpisahan di antara kita, tapi hari ni baru Qila sedar kebenaran kata-kata papa tu.
Untuk apa Qila terus ikat abang, paksa abang untuk menerima diri ini, sedangkan hati abang tidak bahagia, tertekan. Qila tak nak lagi berlaku kejam pada abang… Bang… tolong jangan seksa diri abang lagi. Bukalah pintu hati abang, bukan untuk Qila bang tapi untuk perempuan yang benar-benar layak untuk bertakhta di hati abang. Qila rela mengundur diri. Qila ikhlas bang, Qila balik dulu.. assalammualaikum…”
Tengku Aqilah terus berpusing, elok kakinya hendak menuruni anak tangga, dia merasa tangannya dipegang. Tengku Aqilah menoleh, suaminya sedang memadangnya. Sedih sungguh wajah suaminya itu, matanya merah. Adakah suaminya menangis? Soal hatinya.
“Qila, bagi saya sedikit lagi masa, bagi saya peluang untuk mengenal diri Qila dengan lebih mendalam. Saya tak nak buat keputusan terburu-buru lagi, tempoha hari perkenalan kita terlalu singkat. Saya tahu Qila dan yang lain akan kata saya lelaki ego, saya terlalu mengikut kata hati, tapi itu lebih baik dari kita menjadi manusia hipokrit kan? Sedikit saja masa lagi dan bila saya kembali pada Qila, waktu itu saya yakin cinta saya tidak akan berpaling lagi, please…” Lembut Tengku Ryan Ameer menyakinkannya.
Tengku Aqilah mengangguk perlahan dengan wajah yang manis.
“Ambillah seberapa banyak masa yang abang perlu. Qila tak kisah bang. Yalah sebelum ni pun abang pernah bercinta dengan Kak Tasha. Itulah, masa abang beritahu yang abang sayangkan Qila, cintakan Qila, abang ingat tak Qila ada mempersoalkannya pada abang, betul ke abang pasti dengan hati abang tu? Qila dapat rasa abang membuat keputusan lebih kepada mengikut emosi waktu tu.
Abang sebenarnya lebih nak menjauhkan diri dari Kak Tasha, abang tiba-tiba rasa rimas dengan kehadiran dia, abang tiba-tiba rasa tak bahagia dengan dia, abang tak boleh terima dia mengetahui sifat sebenar Kak Tasha, abang tak boleh terima kekurangan yang ada pada pasangan abang kerana itu abang ambil jalan mudah terus berikan hati abang kepada Qila tanpa abang fikir semasak-masaknya…
Dan sekarang bila abang melihat kekurangan pada Qila pula, abang mengulangi perkara yang sama. Abang begitu mengharapkan kesempurnaan pada pasangan abang, sebab tu Qila memang dah tak meletakkan apa-apa harapan pada hubungan kita. Sebab Qila tahu tahu Qila tak mampu untuk terus-terusan sempurna di mata abang. Kelak kalau berlaku lagi apa-apa yang tak diingini, Qila tak sanggup nak melalui saat-saat macam ni lagi bang, Qila tak sanggup…” Tanpa berlengah Tengku Aqilah terus menuruni anak tangga. Dia memacu laju langkahnya keluar dari rumah itu.
Elok kakinya berada di luar pagar rumah banglo itu, Tengku Aqilah tersenyum senang, pipinya diraba. Mengapa tidak ada air mata? Dia memekik bertanya pada hatinya. Menagapa kau tak bersedih hati? Menagapa tidak ada air mata yang mengalir di pipiku? Ya, memang tidak ada air mata yang perlu mengalir kerana apa yang terbuku di dalam hatinya selama ini sudah pun diluahkan dan bererti secara tersiratnya dia sudah pun membuat keputusan.
Jika selepas ini Tengku Ryan Ameer ingin kembali pada dirinya, Tengku Aqilah pasti lelaki itu sudah boleh menerima dirinya seadanya dan jika jodoh mereka hanya setakat ini sahaja dia tetap reda menerimanya. Bukannya dia tidak sayangkan lelaki itu, Tengku Ryan Ameer adalah cinta pertamanya namun sampai satu waktu dia perlu memikirkan kebahagiaan dirinya juga. Itulah nasihat yang sering diucapkan oleh papanya. Wajah tenang papanya terlayar di ruangan mata. Rasa rindu untuk kembali pada papanya begitu mengasak jiwa.
“Qila sayang papa,” bisiknya dalam senyuman yang mekar berbunga.
Tengku Ryan Ameer masih lagi terkaku di anak tangga. Kata-kata isterinya terus-terusan terngiang-ngiang di telinganya. Serasa dia baru saja diberikan penampar sulung tadi. Bagaikan masih terasa pijar di pipinya.
Tengku Ryan Ameer buntu. Sedari tadi dia cuba sekeras-kerasnya menafikan kenyataan isterinya itu namun di masih lagi gagal untuk membela dirinya. Adakah itu sikapnya yang sebenar? Tidak, tidak… Tengku Ryan Ameer tetap tidak akan menerimanya, dia tetap mengatakan yang tuduhan isterinya itu sama sekali tidak berasas dan salah.
Nafasnya dihela perlahan sebelum menuruni anak tangga. Hadiah yang berbungkus di atas meja tidak diusik, dia hanya memandang sepi sahaja sebelum berlalu ke ruang tamu.

Biasalah, perkara yang paling sukar dalam hidup manusia adalah mengakui kesilapan sendiri, namun jika kita sanggup mengakuinya, maka kita akan menggenggam dunia, kerana kejayaan pasti menjadi milik kita, insya-Allah…


download ep 26

follow admya di facebook

Comments